Skip to main content

10 malam terakhir - Siri 5







Dalam penuh rasa keinsafan kita mengharungi bulan puasa, sedar tak sedar kita semakin menghampiri penghujung Ramadan.
Sudah pastinya 10 malam terakhir ini adalah saat-saat yang ditunggu-tunggu oleh hamba-hamba Allah yang beriman, yang bertekad untuk meningkatkan keimanannya dan mendapatkan pengampunan daripada Allah SW.T. serta ganjarannya.
Nabi Muhammad S.A.W. sendiri pun memperbanyakkan ibadah dan mengajak ahli keluarganya untuk meningkatkan amalan pada 10 Ramadan terakhir.
“Rasulullah S.W.T. sangat giat beribadah di bulan Ramadan melebihi ibadahnya di bulan yang lain, dan pada sepuluh malam terakhirnya beliau lebih giat lagi melebihi hari lainnya.” (HR Muslim).
Sebagai hamba Allah S.W.T. yang sudah tentu banyak melakukan dosa dan kemungkaran, hendaklah kita sama-sama mempergiatkan amalan 10 Ramadan terakhir bagi untuk mendapatkan keredhaan Allah dan ganjaran daripada-Nya.
Berikut merupakan antara saranan bagi amalan-amalan yang boleh kita lakukan pada 10 malam terakhir Ramadan.

1) Mencari Lailatul-Qadar

Antara nikmat dan hadiah Allah S.W.T. terhadap umat Islam adalah dianugerahkannya kepada kita satu malam yang mulia dan mempunyai banyak kelebihan yang tidak pernah didapati pada malam-malam selainnya, iaitu malam Lailatul Qadar.
Ia merupakan suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al- Quran) pada malam taqdir (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu apakah malam taqdir (Lailatul Qadar) itu? Malam taqdir itu (Lailatul Qadar) lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.”
Cara-cara untuk mendapatkannya adalah dengan bersemangat dalam memakmurkan sepuluh malam terakhir dengan beribadah sebanyak yang mungkin.

2) Qiamullail

Qiamullail atau berjaga pada tengah malam untuk bersolat merupakan ibadah yang sangat dituntut pada 10 Ramadan terakhir.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa solat malam pada bulan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya diampunilah dosa-dosanya yang telah lampau.” (HR Al Bukhari-Muslim)

3) Membaca al-Quran

Salah satu keutamaan orang yang membaca al-Quran pada bulan Ramadan adalah pahalanya akan dilipatgandakan. Jika 1 huruf dicatatkan 10 kebaikan (rahmat) daripada Allah, maka pada bulan Ramadan, ganjarannya akan dikira sehingga 700 kali ganda.
Ini membuktikan betapa besarnya ganjaran yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-hamba-Nya pada bulan Ramadan, terutamanya jika ibadah itu dilakukan pada malam Lailatul Qadar.
Selain itu, kita juga digalakkan untuk membaca terjemahan al-Quran dan tafsirnya, berfikir secara mendalam mengenai maksudnya. Nescaya ia dapat meningkatkan lagi keimanan kita bila kita memahami setiap apa yang tersurat dan tersirat dalam kitab itu itu.

4) Melakukan Iktikaf

Ia merupakan amalan Rasulullah untuk menghabiskan 10 hari terakhir Ramadan, iaitu dengan duduk dalam masjid untuk beriktikaf.
Orang yang beriktikaf di masjid pada sepanjang masa ini melaksanakan pelbagai bentuk amalan (mengingati Allah), seperti melakukan solat sunat, membaca dan memahami al-Quran.

5) Memperbanyakkan doa

Pada 10 malam terakhir, apa kata kita mencuba untuk berdoa dengan lebih panjang dan lebih dihayati makna-maknanya.
Bagi yang sudah biasa dengan surah yang panjang, baca terjemahan dan penjelasan serta hayati makna daripada surah itu.
Salah satu masa terbaik untuk melakukan amalan ini adalah pada bahagian terakhir malam.
Abu Huraira r.a., berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Apabila berakhir satu pertiga malam, Allah Yang Amat Terpuji turun ke langit bumi dan berfirman: Siapakah yang berdoa untuk Ku? Siapa yang berdoa untuk Ku memohon apa-apa akan Ku perkenankan. Dan yang yang memohon keampunan kepada Ku, Aku akan memaafkannya.” (HR Al Bukhari- Muslim)

6) Bertaubat dan memperbanyakkan istighfar

Bulan Ramadan adalah bulan terbaik untuk bertaubat dan menghidupkan istighfar. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristigfar) kepada Allah karena aku selalu bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR Muslim)
Baginda merupakan orang yang paling banyak beristighfar dan bertaubat kepada Allah meskipun terpelihara daripada dosa. Apatah lagi kita umatnya yang sering melakukan dosa setiap hari.

7) Bersedekah dan membantu sesama manusia

Umat Islam yang bersedekah pada 10 malam terakhir Ramadan akan mendapatkan pahala yang melimpah serta keutamaan bersedekah itu sendiri.
Ini termasuk menyediakan dan memberikan juadah berbuka puasa kepada ahli keluarga atau sesama orang Islam.
Sabda Rasulullah: “Sesiapa yang memberi iftor (hidangan untuk berbuka) orang-orang yang puasa/berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang puasa/berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun.” (HR Bukhari dan Muslim).

8) Berbuat baik dan menyambung tali silaturahim

Tidak hanya beribadah kepada Allah saja, kita sebagai umat Islam yang hidup bermasyarakat juga hendaklah melaksanakan ibadah kepada sesama manusia dengan berbuat baik, tolong menolong, menghadiri majlis-majlis dakwah dan mengunjungi sanak-saudara dan sebagainya.
Kita juga hendaklah melapangkan dada dan memaafkan segala kesalahan orang lain yang pernah dilakukan kepada kita, seterusnya menyambung semula tali silaturahim yang mungkin pernah terputus.

9) Menghadiri majlis-majlis ilmu dan agama

Kita juga digalakkan untuk menghadiri majlis-majlis ilmu dan agama, seterusnya mendalami setiap ilmu yang disampaikan.
Dengan itu, ia dapat membantu meningkatkan keimanan kita kepada Allah, seterusnya dapat diterjemahkan kepada amal ibadat yang tingkatkan pada 10 malam terakhir.

10) Mengajak ahli keluarga untuk menghidupkan 10 malam terakhir

Sebaik-baiknya, kita hendaklah mengajak seluruh ahli keluarga untuk sama-sama menghidupkan 10 Ramadan terakhir, dan bersama-sama mendapatkan keredhaan dan ganjaran Allah S.W.T.
Ini kerana dalam masa beberapa hari sahaja, bulan Ramadan akan berlalu dan bulan yang penuh keberkatan dan keampunan ini hanya akan kembali pada tahun depan.
Sedangkan kita tidak tahu adakah kita masih berkesempatan untuk menemui Ramadan pada tahun depan.




Comments

Popular posts from this blog

Selamat Hari Raya

CARA SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILFITRI BESERTA KHUTBAH RINGKAS DI RUMAH

Zakat Fitrah - Siri 7