Skip to main content

Pengisian Bulan Ramadhan : Ibadat-ibadat Pada Bulan Ramadhan- Siri 3



Terdapat 12 langkah untuk kita meraih pahala secara maksimum pada bulan ini, iaitu:


1. Memperbanyakkan solat sunat.
Pada bulan Ramadhan, solat sunat adalah sama nilainya dengan solat fardu. Manakala solat fardu adalah sama nilainya dengan 70 kali solat fardu pada bulan yang lain.
Solat sunat rawatib adalah solat yang sentiasa dijaga pelaksanaannya oleh Rasulullah s.a.w. Ia berjumlah 12 rakaat sehari semalam iaitu: Dua rakaat sebelum subuh, empat rakaat sebelum zuhur, dua rakaat selepas zuhur, dua rakaat sebelum asar dan dua rakaat selepas maghrib.
Berkenaan dengan pahala solat sunat, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang solat dalam satu malam 12 rakaat, selain solat wajib, dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga."
- Hadis riwayat Muslim


2. Meningkatkan kualiti puasa. Imam Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin membahagikan puasa kepada tiga peringkat iaitu:
Pertama : Puasa Awam (عوام), iaitu menahan makan, minum dan syahwat pada siang hari bulan Ramadhan.
Kedua : Puasa Khawas (خواص), iaitu puasa anggota badan seperti mata, tangan, kaki dan telinga daripada melakukan sesuatu yang haram.
Ketiga : Puasa Khawas al-Khawas (خواص الخواص), iaitu mengikat hati dengan kecintaan dan mengharapkan hanya balasan ALLAH SWT, membenci perkara-perkara mungkar, menumpukan hati dengan ketaatan dan zikir kepada-NYA.
Maka, tingkat puasa manakah yang akan kita jalankan?
Sehari kita berpuasa akan dapat menjauhkan diri dari neraka selama 70 tahun. ALLAH SWT akan melipatgandakan pahala puasa bagi sesiapa saja yang DIA kehendaki. Sebagaimana disabdakan Rasulullah s.a.w. iaitu:
"Barangsiapa yang berpuasa satu hari di jalan ALLAH SWT, maka DIA akan menjauhkan api neraka dari wajahnya selama 70 tahun."
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
"Bau mulut orang puasa bagi ALLAH SWT lebih baik daripada wangi kasturi."
Hadis riwayat Bukhari
"Orang yang puasa mempunyai pintu di syurga yang khusus, bernama ar-Rayyan."
Hadis riwayat Bukhari


3. Qiamullail
Qiamullail atau bangun pada waktu malam untuk melakukan ibadat kepada ALLAH SWT adalah medium untuk membina jati diri dan peribadi tinggi. Tiada yang mampu melakukannya kecuali orang yang ikhlas. Maka paksalah diri kita untuk melakukannya kerana ganjarannya amat bernilai.
Malik bin Dinar r.a. menyatakan: "Tidak ada yang tersisa daripada kelazatan dunia kecuali tiga perkara iaitu; berzikir mengingati ALLAH SWT, qiamullail dan bertemu sesama saudara."
Sementara Umar bin Abdul Aziz sangat menikmati manfaat qiamullail ini dengan menyatakan: "Aku sentiasa melakukan qiamullail dalam satu tahun, lalu kurasakan kenikmatannya selama 20 tahun."
Melaluinya juga kita memperolehi kemuliaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Barangsiapa yang bangun di tengah malam dan membangunkan isterinya dan mereka bersolat bersama, maka akan dicatatkan mereka dari kalangan orang yang banyak mengingati ALLAH. Sesungguhnya ALLAH SWT turun setiap malam ke langit dunia ketika masih ada sepertiga malam terakhir."
Hadis riwayat Muslim
Sayidina Umar bin al-Khattab menyatakan bahawa orang yang melakukan qiamullail mendapat lima kelebihan iaitu; tergolong dalam kalangan orang yang soleh, dekat dengan ALLAH SWT, jauh daripada dosa, menghapuskan dosa dan menolak penyakit dari jasad.
Selain itu, pintu taubat dan keampunan pasti diterima oleh ALLAH SWT terutamanya jika dilakukan di sepertiga malam terakhir. Seperti yang disebutkan di dalam hadis Qudsi:
"Sesungguhnya ALLAH SWT turun setiap malam ke langit dunia ketika masih ada sepertiga malam terakhir."
ALLAH SWT berfirman:
"Barangsiapa yang berdoa kepada-KU, maka akan AKU kabulkan. Barangsiapa yang meminta kepada-KU akan AKU penuhi permintaannya. Barangsiapa yang memohon ampunan kepada-KU, maka AKU akan mengampuninya.."
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim


4. Berzikir
Zikrullah adalah penentu hidup dan matinya hati seseorang. Seorang tabiin menyatakan:
"Sesungguhnya di dunia ini ada syurga. Orang yang belum memasuki syurga dunia, tidak masuk ke dalam syurga akhirat. Syurga dunia itu adalah zikrullah."
Memelihara tiga kesempatan dalam berzikir:
a. Zikir pada waktu pagi dan petang. Iaitu mengamalkan zikir-zikir mudah yang terkandung di dalam al-Ma'thurat sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.
Imam Nawawi berpandangan bahawa : "Tidak ada orang yang rutin memelihara zikir pagi dan petang kecuali dia orang yang bertakwa."
b. Zikir ketika berada dalam keadaan tertentu seperti masuk dan keluar rumah, menaiki kenderaan, makan, tidur dan sebagainya.
c. Zikir hati atau tafakur iaitu memikirkan kejadian langit, bintang, matahri, bulan, gunung, laut dan pelbagai fenomena alam lainnya. Amalan ini akan dapat memanfaatkan lagi keimanan di dalam hati. Lalu, menumbuhkan rasa penyerahan diri kepada ALLAH SWT.


5. Bersedekah
Adakah kita ingin mendekati ALLAH SWT dan kita memperoleh darjat yang tinggi serta menemani Rasulullah s.a.w. di syurga? Adakah kita ingin anak-anak aman dan terjamin kesejahteraannya apabila kita tiada kelak?
Kita tidak perlu takut kepada kemiskinan hanya disebabkan kita bersedekah kerana ALLAH SWT tidak pernah putus memberi balasan kepada orang yang sentiasa bersedekah. ALLAH SWT berfirman:
مَّن ذَا الَّذِى يُقْرِضُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَعِفَهُ, لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً, وَاللهُ يَقْبِضُ وَيَبْصُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Maksudnya:
"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada ALLAH sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya ALLAH melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), ALLAH jualah Yang Menyempit dan Yang Meluaskan (pemberian rezeki), dan kepada-NYAlah kamu semua dikembalikan."
Surah al-Baqarah:245


6. Bertadarus
Membaca atau bertadarus al-Quran adalah ibadat paling utama pada bulan Ramadhan. Berusahalah mengkhatamkan al-Quran lebih daripada sekali pada bulan ini.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang membaca al-Quran kemudian dia melihat seseorang datang lebih mulia daripada apa yang didatangkan kepadanya, maka dia telah memperkecilkan apa yang diagungkan ALLAH kepadanya."
Hadis riwayat Tabrani


7. Menyegerakan bertaubat
Taubat adalah penyesalan terhadap perkara-perkara buruk yang pernah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi. Setiap hari kita semua perlu bertaubat terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis Qudsi:
"Barangsiapa yang mendekatkan diri kepada-KU satu jengkal, maka aku akan mendekatinya satu hasta dan barangsiapa yang mendekati-KU satu hasta, maka AKU akan mendekatinya satu depa. Dan barangsiapa yang mendekati-KU dengan berjalan, AKU akan mendekatinya dengan berlari."
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim


8. Beriktikaf
Iktikaf adalah sebahagian daripada sunnah yang sentiasa dilakukan Rasulullah s.a.w. pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan. Bahkan pada tahun kewafatan baginda, Rasulullah s.a.w. melakukan iktikaf selama 20 hari.
Iktikaf bermaksud mendampingi masjid. Tujuan iktikaf ini ialah untuk membersihkan hati dengan mengingati ALLAH dan taqarrub (berdamping) dengan-NYA yang Maha Pencipta dengan hati yang ikhlas.


9. Redha di atas segala ketetapan ALLAH SWT.
Orang yang paling gembira di dunia ini adalah yang sentiasa redha dengan ketetapan ALLAH SWT. Keredhaan adalah tingkat yang lebih tinggi daripada sifat sabar.
Sayidina Ali bin Abi Talib r.a. berkata: "Barangsiapa yang redha dengan ketetapan ALLAH SWT ke atas dirinya, maka ia akan mendapat pahala. Dan barangsiapa yang tidak redha terhadap ketetapan ALLAH SWT ke atasnya, ketetapan itu akan tetap terjadi dan ia tidak mendapat pahala amalannya."


10. Sentiasa memaafkan orang lain dan mengeratkan silaturahim
Memaafkan adalah sifat yang mulia. Perasaan marah tidak wujud di dalam diri sekiranya kita bersedia untuk memberi kemaafan. Ini juga merupakan sikap baginda s.a.w.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang mampu menahan marah padahal ia mampu melampiaskan kemarahannya. ALLAH SWT akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan ketua para makhluk dan memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang dia ingini."
Hadis riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah


11. Bahagiakan orang tua (ibu bapa)
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Berbuat baiklah dengan ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu dan saudara lelakimu, kemudian ke bawah dan ke bawah."
Hadis riwayat an-Nasai', Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi


12. Bersungguh-sungguh meraih lailatulqadar
Merupakan malam yang paling mulia dalam satu tahun dan tiada keutamaan yang menyerupainya. Ibadat pada malam itu lebih baik daripada 1000 bulan. Terdapat hadis yang menyebut bahawa malam tersebut jatuh pada salah satu malam sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, terutamanya pada malam-malam ganjil.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang bangun pada malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka ALLAH SWT akan mengampuni dosa-dosanya yang terdahulu."
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim


- Sumber dari TAZKIRAH terbitan Karangkraf

Comments

  1. Jazakallahhukhairan.. Tahniah AJK PSS kerana menghasilkan buletin yang sangat berfaedah. Mohon teruskan perkongsian.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Selamat Hari Raya

CARA SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILFITRI BESERTA KHUTBAH RINGKAS DI RUMAH

Zakat Fitrah - Siri 7