Ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun ini, umat Islam di Malaysia tidak dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid. Peraturan terbaru yang ditetapkan oleh badan berwajib di beberapa buah negeri hanya menghadkan jumlah 12 jemaah sahaja yang dibenarkan solat di masjid, terdiri daripada imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid.
Walau bagaimanapun, jangan khuatir kerana solat sunat Aidilfitri masih lagi boleh ditunaikan dengan hanya berada di rumah. Ikuti langkah-langkah yang dikongsikan oleh Khairul Anuar Basri bagi sesiapa yang ingin solat berjemaah ataupun bersendirian di rumah.
Hukum & waktu solat
Solat sunat Aidilfitri jatuh pada hukum sunat muakkad iaitu merujuk kepada sunat yang digalak dalam Islam. Segala rukun dan syarat sah solat sunat Aidilfitri adalah sama seperti solat fardhu yang lain. Namun terdapat sedikit penambahan yang perlu dilakukan iaitu bertakbir sebanyak 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua sambil diselangi dengan tasbih.
Semua sedia maklum bahawa solat ini akan dilaksanakan pada setiap pagi 1 Syawal iaitu setelah terbitnya matahari dan sebelum masuknya waktu solat fardhu Zohor. Kebiasaannya, umat Islam di Malaysia memulakan solat sunat Aidilfitri sekitar jam 8.30 hingga 9.00 pagi.
Niat solat sunat Aidilfitri
- Mulakan dengan lafaz niat sahaja aku solat sunat Aidifitri menjadi (imam/makmum) kerana Allah Ta’ala.
- Selepas takbirratul ihram, mulakan dengan bacaan doa iftitah.
Rakaat pertama 7 kali takbir, 6 kali tasbih
- Selepas bacaan doa iftitah, takbir ‘Allahu Akbar’ sebanyak 7 kali diselangi dengan bacaan tasbih ‘Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu akbar’ secara perlahan.
- Apabila selesai takbir sebanyak 7 kali, baca Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan apa sahaja surah yang pendek.
- Kemudian solat seperti biasa sehingga rakaat kedua.
Rakaat kedua 5 kali takbir, 4 kali tasbih
- Sebaik sahaja bangkit dari sujud dan menuju rakaat kedua dengan takbir ‘Allahu Akbar’, imam dan makum perlu terus bertakbir sebanyak 5 kali diselangi dengan bacaan tasbih sama seperti rakaat yang pertama.
- Cukup 5 kali takbir diselangi 4 kali tasbih, teruskan solat dengan membaca Surah Al-Fatihah dan kemudiannya diikuti dengan apa sahaja surah yang pendek.
- Solat seperti biasa sehingga tahiyyat akhir dan memberi salam.
- Maka dengan ini sudah selesailah solat sunat Aidilfitri.
Khutbah ringkas Aidilfitri
Pada khutbah pertama:
- Ucap ‘Alhamdulillah’
- Baca selawat ‘Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad’.
- Pesan kepada makmum untuk bertaqwa: ‘Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah’.
- Baca satu potongan ayat Al-Quran: ‘Inna a’thoinakal kausar. Fasolli lirabbika wanhar. Inna syaniaka huwal abtar’
- Sekian khutbah pertama. Kemudian duduk la sekejap.
Pada khutbah kedua:
- Ucap ‘Alhamdulillah’
- Baca selawat ‘Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad’
- Pesan kepada makmum untuk bertaqwa: ‘Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah’.
- Baca 1 potong ayat Al-Quran: ‘Qul huwallahu Ahad. Allahus somad. Lam yalid walam yulad. Walam yakullahu kufuwan ahad’.
- Baca doa untuk seluruh orang Islam: ‘Ya Allah selamatkan kami semua dari Corona Virus. Ya Allah selamatkan kami semua di dunia dan akhirat’.
- Selesai
Sumber: The Inspirasi, Khairul Anuar Basri
Comments
Post a Comment